KEPENTINGAN SERTA KEBAIKAN SENAMAN SEMASA HAMIL

KEPENTINGAN SENAMAN SEMASA HAMIL

Umumnya masyarakat kita menganggap wanita hamil memerlukan rehat yang banyak dan patut mengurangkan segala aktiviti hariannya. Namun kebelakangan ini sudah ramai wanita hamil yang menyedari bahawa tidak semua aktiviti fizikal itu memberi mudarat dan merbahaya kepada mereka ataupun kandungan mereka. Sebaliknya aktiviti seperti senaman dan riadah yang lain mampu mendatangkan kebaikan untuk diri dan kandungannya.

Kajian yang dilakukan di barat dan juga di Asia sendiri menunjukkan bahawa melakukan senaman yang sesuai semasa mengandung membawa kebaikan kepada bakal ibu dan juga bayi dalam kandungan mereka. Bagi mereka yang sememangnya aktif bersenam sebelum mengandung, mereka sebenarnya boleh meneruskan rutin senaman mereka. Senaman tersebut perlulah disesuaikan dengan perubahan fizikal dan peringkat usia kandungan mereka, kerana stamina mereka mungkin berubah dari semasa ke semasa. Bentuk badan dan postur mereka yang juga turut berubah apabila kandungan mereka semakin membesar.

Wanita yang mempunyai masalah kesihatan seperti anemia (kurang darah merah), masalah injap jantung, asma, kencing manis, tekanan darah tinggi dan lain-lain lagi, hendaklah mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk mengetahui tahap kesihatan mereka. Bincangkan dengan doktor anda aktiviti senaman yang sesuai dan selamat bagi anda.

KEBAIKAN SENAMAN SEMASA MENGANDUNG

  1. Meningkatkan  tahap kesihatan wanita dan bayi
  2. Mengurangkan pertambahan berat badan yang berlebihan
  3. Mencegah terjadinya tekanan darah tinggi dan kencing manis semasa mengandung.
  4. Meningkatkan tahap keyakinan diri dan menurunkan kadar kemurungan. Ini adalah kerana hormon gembira (hormon Endorfin) akan dikeluarkan dengan banyak semasa bersenam.
  5. Mengurangkan risiko bersalin melebihi tempoh jangkaan iaitu lebih daripada 40 minggu.
  6. Mengurangkan berisiko bersalin secara pembedahan berbanding wanita yang tidak bersenam.

Kredit :Ratu Sepanjang Masa