JADILAH WANITA YANG DIRINDUI SYURGA

Salam Maulidur Rasul buat semua sahabat-sahabat blog Mamapride.

Alhamdulillah.. bertemu lagi kita pada bulan Rabiul Awal 1442H/2020. Rabiul Awal merupakan bulan ketiga dalam Takwim Islam dan merupakan bulan yang sangat istimewa bagi seluruh umat islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam untuk kita sama-sama memperingati dan memuliakan hari dan bulan kelahiran Baginda S.A.W

Sempena dengan itu, marilah kita sama-sama renungkan dan hayati antara Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik muslimah syurga ialah Khadijah, Fatimah, Maryam dan Asiyah” – HR Baihaqi

Siapakah mereka ini? Apakah perbuatan dan sumbangan mereka sehingga telah dijamin syurga oleh Nabi Muhammad S.A.W? Keempat-empat wanita itu ialah isteri solehah yang sangat luar biasa kerana tetap menunjukkan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT walaupun diuji dengan hebat, sekali gus banyak pengajaran yang boleh dijadikan teladan kepada wanita generasi masa kini.

Khadijah RA memenuhi hidupnya dengan perjuangan isteri yang mendampingi suami, iaitu Rasulullah S.A.W dalam perjuangan menegakkan Islam, sekali gus berusaha menjadi penenang ketika Baginda diuji. Beliau bukan saja penasihat, bahkan perawat yang menenangkan Rasulullah S.AW, selain sentiasa memahami masalah dan situasi dihadapi Baginda dan sanggup membelanjakan semua hartanya pada jalan Allah.

Asiyah, isteri Firaun yang terkenal sebagai pemerintah zalim dan kejam tetapi akidah serta imannya teguh terhadap Allah SWT, sekali gus terus menjaga kemuliaan diri dengan akhlak baik dan terpuji.

Fatimah RA puteri Rasulullah S.A.W. Beliau adalah wanita atau ibu hebat dalam menguruskan rumah tangganya yang sentiasa melawan rasa lelah dan penat tanpa merungut dalam melakukan tugasan harian dan mengurus anak-anak. Fatimah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai kepenatan menguruskan tugas seharian, lalu Baginda menyuruhnya berzikir dan berpesan nikmat diperoleh sebagai isteri seperti berjihad di jalan Allah SWT hingga tidak lagi mengeluh.

Begitu juga Maryam, ibu Nabi Isa AS. Wanita ini wajar menjadi contoh terbaik dalam menghiasi kehidupan dengan mentaati Allah SWT. Beliau tidak terpedaya dengan kesenangan dunia malah terus menghambakan diri dengan melakukan ibadah siang dan malam serta menjaga kehormatan diri daripada sekecil-kecil perbuatan maksiat. Ujian berat dianugerahkan kepadanya menjanjikan hikmah besar. Walaupun dihina dan dicaci kerana melahirkan zuriat tanpa suami, beliau tetap reda dan yakin dengan janji Allah SWT.

Firman Allah: “Kaum lelaki ialah pemimpin dan pengawal bertanggungjawab terhadap kaum perempuan hingga Allah SWT melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan juga kerana orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian harta mereka. Maka perempuan yang soleh ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya) serta memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak bersama dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya. (An-Nisaa: 34)

Mudah-mudahan ciri dan sifat keempat-empat tokoh ini menjadi panduan untuk kita menjalani kehidupan berkeluarga, dan kita semua adalah antara golongan wanita solehah dan ahli-ahli syurga… insyaAllah. AAMIIN.