Darurat? Mudarat?

Ibu-ibu mengandung yang beragama Islam bukan sahaja gelisah ketika waktu kelahiran semakin hampir tetapi juga resah memikirkan rasa malu yang terpaksa ditanggung sebelum melahirkan bayi yang dikandungnya, selama sembilan bulan, sepuluh hari.
 
Mana tidaknya, ibu-ibu terpaksa menjalani pemeriksaan bukaan ‘jalan’ (pembukaan pintu rahim) setiap empat jam bermula saiz 2cm sehinggalah mereka bersalin.
 
Setiap empat jam itulah, ibu-ibu terpaksa mendedahkan auratnya dibahagian betis, lutut dan paha walaupun anggota badan itu tidak langsung terlibat dalam proses bersalin.
 
Rasa resah ibu-ibu itu lebih membukit apabila doktor lelaki dipertanggungjawabkan melakukan segala prosedur sehinggalah ke peringkat menyambut kelahiran bayi mereka.
 
“Dulu ibu-ibu yang mahu bersalin terpaksa mendedahkan aurat mereka atas alasan darurat…sebab tiada alternatif. Sekarang hukum darurat itu sudah jatuh sebab kita sudah ada seluar bersalin,” itu penjelasan seorang doktor perubatan, Dr Mashitah Mohd Locman.
 
Berita ini tentunya menggembirakan ibu-ibu diluar sana yang selama ini menantikan perkembangan positif dalam dunia perbidanan negara.
 
Jika sebelum ini kita selalu mendengar keluhan betapa ibu-ibu mahukan bidan atau doktor perempuan yang menyambut kelahiran anak mereka didalam dewan bersalin.
 
Namun, atas kekangan tertentu gesaan ibu-ibu itu tidak mendapat perhatian dan tidak mampu dipenuhi kerajaan buat masa ini.
 
Dengan adanya alternatif yang diilhamkan beberapa pengamal perubatan, maka terhasilah seluar bersalin, yang sekurang-kurangnya menutup sebahagian besar aurat ibu-ibu dan hanya mendedahkan bahagian yang perlu sahaja.
 
“Seluar bersalin ini hanya membuka kawasan perenium atau kawasan vagina ibu-ibu yang mahu bersalin sahaja. Maksudnya bahagian-bahagian lain seperti betis, paha dan lutut tidak akan terdedah,” ujar Dr Mashitah lagi.
 
Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad ketika diberitahu mengenai penghasilan seluar bersalin ini, nyata teruja dan menyokongnya 100 peratus.
 
“Saya menyambut baik kalau sekiranya benda ini betul-betul ada, sekurang-kurangnya ia dapat membantu. Kadang-kadang apabila kita pergi ke bilik bedah, kadang-kadang kita memang ada rasa segan dan tambahan yang menyambut kelahiran itu adalah daripada kaum lelaki. Jadi saya hendak memuji langkah yang dibuat (oleh sekumpulan doctor ini) dan harap dapat diperkembangkang di tempat lain, jadi masyarakat dapat manfaat daripada inovasi ini,” katanya.
 
Seluar bersalin Mama Pride diilhamkan seorang pakar perubatan keluarga yang kini bertugas di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Harmy Mohd Yusof dan kemudiannya dibangunkan oleh seorang doktor perubatan yang hanya mahu dikenali dengan nama Dr Afnan.
 
Rekacipta seluar bersalin ini sudahpun didaftar di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mendapat pengiktirafan seluar pertama seumpamanya di dunia yang mempunyai bukaan dibahagian perenium berbentuk heksagon.
 
Menurut Dr Mashitah, seluar bersalin Mama Pride ini sudahpun diuji sebelum mula dipasarkan.
 
“Seluar ini sudah diuji sebanyak dua kali. Kali pertama kita uji ketika proses kelahiran dan segala kelemahan yang kita kesan..kita perbaiki dan tambah nilai seluar ini.
 
“Selepas menjalani ujian kali kedua, kami dapati seluar ini sudah bersedia untuk bertemu pelanggan,” ujarnya.
 
Dr Mashitah meneceritakan, sebaik sahaja ibu-ibu sudah mempunyai tanda-tanda untuk bersalin, mereka akan ke hospital untuk membuat pemeriksaan.
 
Maka bermulalah proses yang memerlukan aurat ibu-ibu yang tidak sepatutnya didedahkan.
 
“Ketika ini ibu-ibu perlu menjalani pemeriksaan bukaan laluan setiap empat jam. Bahagian yang terlibat hanya kawasan perenium, tetapi ibu-ibu terpaksa menyelak kain sehingga ke pangkal peha.
 
“Keadaan ini amat tidak menyenangkan ibu-ibu yang menjaga aurat mereka. Jadi dengan adanya seluar ini, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan rasa malu ibu-ibu yang tengah bertarung dengan kesakitan ketika itu,” ujarnya.
 
Seluar bersalin Mama Pride ini diperbuat daripada dua jenis kain iaitu cotton dan lycra. Ia didatangkan dengan pelbagai saiz bermula L, XL dan XXL.
 
“Ditempat yang memerlukan regangan seperti lutut, perut kita gunakan kain lycra..untuk keselesaan ibu-ibu. Sementara dibahagian yang tidak memerlukan regangan, kita gunakan kain cotton seperti di betis dan paha.
 
“Tujuan kita gunakan campuran kain cotton dan lycra adalah untuk menjimatkan kos bagi membolehkan kami tawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan,” katanya lagi.
 
Buat masa ini seluar bersalin Mama Pride ini dijual pada harga RM119 sepasang dan didatangkan dalam beberapa warna seperti warna biru pastel, hijau pastel, hijau lime, maroon dan merah jambu.
 
Ketika ditanya bagaimanakah penerimaan hospital dan staf perbidanan, Dr Mashitah berkata, ia masih belum menyeluruh.
 
“Seluar bersalin ini masih baru dan pihak kami perlu mengadakan penerangan kepada hospital-hospital berkenaan seluar ini.
 
“Bagaimanapun, setakat ini sudah 32 buah hospital menerima penggunaan seluar ini walaupun pada mulanya mungkin ada sedikit halangan,” katanya lagi.
 
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berpandangan usaha untuk memperluaskan pasaran dan penggunaan seluar ini seharusnya turut digalas kerajaan.
 
“Sepatutnya ini juga tanggungjawab sosial kerajaan (memberikan seluar itu secara percuma kepada mereka yang hendak bersalin di hospital kerajaan). 
 
“Tanggungjawab kerajaan ini adalah untuk memudahkan rakyat, kita ini sebagai faslitator untuk memudahkan rakyat, benda ini bukan susah pun, kerajaan berikanlah seluar tersebut kepada pesakit, tambahan dalam suasana kita hendak menggalakkan pertumbuhan rakyat yang ramai dan juga dalam masa sama hendak membela maruah wanita dan yang ketiganya dalam sauna kos yang mahal untuk bersalin, tetiba hendak bersalin pula perlu beli benda itu,” katanya.
 
Mungkin sudah tiba masanya untuk pihak hospital menerima penggunaan seluar bersalin ini berikutan ramai ibu-ibu kini mempunyai kesedaran akan perihal penutupan aurat ketika mahu melahirkan anak.  
 
“Diluar negara, Australia misalnya, jika seseorang ibu muslim meminta kebenaran untuk menutup aurat mereka, staf perubatan dengan senang hatinya memberi keizinan kerana mereka sedar itu dalah hak seorang pesakit.
 
“Namun lain di Malaysia kerana pengamal perubatan kita sudah dilatih dan diajar dengan cara yang kita gunapakai kini dan sukar untuk mereka mengubah kebiasaan itu,” ulas Dr Mashitah.
 
Namun Dr Mashitah dan kumpulan pengamal perubatan yang berani menyahut cabaran ini yakin bahawa seluar bersalin ini akan diterima secara keseluruhannya sedikit masa nanti.
 
“Manusia ini…musuh mereka adalah perkara yang mereka tidak tahu. Kami yakin, jika mereka faham fungsi dan kebaikan seluar ini, mereka akan menerimanya dengan hati terbuka.
 
“Kami para pengamal perubatan tidak sesekali memikirkan untuk mengaut keuntungan daripada penghasilan seluar ini. Ini adalah tugas kami untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah,” tegas Dr Mashitah.
 
Menjadi kelaziman, sesuatu yang baru sukar untuk diterima masyarakat umum. Begitu juga dengan seluar bersalin Mama Pride.
 
Memandangkan produk ini baru berusia kurang 5 bulan di pasaran, ia agak sukar untuk diterima staf perubatan terutama hospital kerajaan.
 
Namun kumpulan pengamal perubatan yang terlibat dalam pembangunan rekabentuk seluar ini percaya, seluar ini akan dapat diterima dengan meluas dalam dua atau tiga tahun lagi di Malaysia.
 
“Di Malaysia, kita sasarkan dua atau tiga tahun untuk seluar ini diterima secara meluas dan mungkin lima hingga 10 tahun untuk peringkat dunia.
 
“Pihak kami sedang dalam usaha memberikan penerangan mengenai kelebihan seluar bersalin ini kepada hospital kerajaan mahupun swasta,” jelas doktor yang bertanggungjawab membangunkan rekabentuk seluar bersalin Mama Pride, Dr Afnan.
 
Seluar bersalin ini tidak lepas daripada kontroversi apabila diperlekeh individu tertentu yang tidak pun mengetahui dalil produk ini dihasilkan.
 
“Ada beberapa laman sosial yang kita kesan mempersendakan seluar ini walhal mereka tidak mengetahui apakah produk ini sebenarnya.
 
“Bila saya sertai perbincangan mereka, saya jelaskan perkara sebenar, mereka terus diamkan diri dan meninggalkan perbincangan itu. Ternyata, ramai yang tidak tahu tapi mahu berbicara mengenainya. Oleh sebab itu, pihak kami perlu buat lebih banyak sesi penerangan mengenai seluar ini,” katannya lagi.
 
Mungkin mereka tidak mengetahui seluar bersalin itu adalah hasil ciptaan doktor perubatan yang sudahpun diambil kira akan segala aspek yang diperlukan semasa proses kelahiran berlaku.
 
Bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’.

Click here to add a comment

Leave a comment: