APA IBUBAPA PERLU TAHU? : VAKSIN DAN BAYI ANDA

FAKTA : Tahun 2015 adalah tahun bebas Campak di Malaysia (gambar hiasan)

Apa itu Vaksin?

Vaksin adalah sejenis agen yang bertindak merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang manusia.

Vaksin adalah sejenis bahan yang diperbuat daripada agen bakteria yang telah dimatikan (killed), dilemahkan fungsi bahaya mereka (attenuated) atau bahan menyerupai toksin (toxoid) yang tidak merbahaya. Ia dibuat dalam makmal yang terkawal rapi kebersihannya.

Kenapa Vaksin dicipta?

Terdapat banyak penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kecacatan mahupun kematian di kalangan kanak-kanak, dan dengan adanya teknologi maka Vaksin telah dicipta.

Apa kaitan Vaksin dan Imunisasi?

Suntikan vaksin ini diberi nama Imunisasi. Imunisasi adalah cara yang paling efektif dalam mencegah dan mengurangkan penyakit berjangkit ini. Semua kanak-kanak berhak mendapat imunisasi yang lengkap bagi mencegah penyakit berjangkit dengan efektif.

Kepentingan Imunisasi

Dalam perubatan moden, vaksin adalah perubatan pencegahan (Preventive) yang berfungsi untuk mencegah sesuatu kuman bakteria atau virus daripada memudaratkan badan manusia serta menghalang penyakit menular ke dalam masyarakat.

Imunisasi penting kepada kanak-kanak untuk mengelak daripada pelbagai penyakit berjangkit yang serius seperti Tuberculosis, Polio, Campak dan sebagainya yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian. Kebanyakan penyakit berjangkit ini tidak mempunyai rawatan khusus dan boleh mengakibatkan kesan sampingan dan kompilasi yang teruk atau kekal. Ia juga dapat mengelakkan kesengsaraan yang dialami oleh kanak-kanak dan juga ahli keluarga.

Implikasi tanpa Imunisasi

Penyakit berjangkit yang serius boleh berlaku secara berkala dan akan membawa kepada berlakunya kejadian epidemik dan wabak berleluasa. WHO menganggarkan kos pemberian imunisasi lebih jimat berbanding dengan kos merawat sesuatu penyakit jika merebak. Penyakit berjangkit ini akan mengakibatkan mobiditi (jumlah penyakit yang dihinggapi dalam satu masa), mortaliti (jumlah kematian) yang tinggi dan risiko yang tinggi samada dapat dirawat atau tidak. Penyakit berjangkit ini kerap menyerang kanak-kanak dan mempunyai kompilasi yang serius berbanding penyakit-penyakit lain.

Kesimpulan

Di dalam al-Quran, surah Al-Maidah sebahagian petikannya bermaksud seperti berikut :

“Dan barang siapa memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah ia telah memelihara kehidupan manusia semuanya”. (Al-Maidah: 32, petikan sebahagian ayat)

Ayat di atas menggambarkan bahawa betapa besarnya nilaian Allah SWT yang bakal diperolehi oleh seseorang yang beriman dan kiranya mereka dapat membantu untuk menyelamatkan walaupunn hanya satu nyawa. Justeru, sayangilah masa depan dan nyawa anak-anak kita. Mencegah lebih baik daripada berubat.

Sumber daripada buku :  VAKSIN UNTUK BAYI ANDA, MITOS vs REALITI (Best Seller, Cetakan Ketiga)

Jadual Jenis-Jenis Imunisasi yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk panduan dan rujukan para ibubapa (Sumber daripada KKM)